Aims at becoming among the top-tiers full service legal entity offering comprehensive, excellent, Shariah compliant hand-crafted legal services and consultancy.

Contacts
Location
Suite 10.01, Level 10, Menara Atlan, 161B, Jalan Ampang, Persiaran KLCC, 50450, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia.
Phone
Tel : +603 9212 0921  Fax : +603 4131 0574

Resources

Bagaimana Cara Untuk Membuat Tuntutan Di Mahkamah Perusahaan?


Pengenalan

Dalam penulisan pada kali ini, saya akan berkongsi tentang bagaimana cara membuat tuntutan di Mahkamah Perusahaan.

Pertamanya, selain daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Mahkamah Sivil, Mahkamah Perusahaan adalah merupakan satu tempat yang mana pekerja boleh membuat tuntutan ke atas majikan untuk pembuangan kerja secara tidak sah (unlawful dismissal).

Malah, jika nak dibandingkan dengan JTK dan Mahkamah Sivil, Mahkamah Perusahaan mungkin adalah tempat yang lebih berbaloi untuk pekerja membuat tuntutan disebabkan oleh bidang kuasa yang dimiliki oleh Mahkamah Perusahaan. 

Jadi, Apakah Bidang Kuasa Yang Dimiliki Oleh Mahkamah Perusahaan?

Tidak seperti JTK dan Mahkamah Sivil, Mahkamah Perusahaan mempunyai bidang kuasa untuk memberikan tuntutan yang seperti berikut:

a) Pemulihan kerja (reinstatement); dan
b) Ganti rugi gaji ke belakang (backwages) sebanyak 24 bulan maksimum. Backwages ini dikira dari tarikh pembuangan kerja sehinggalah tarikh Mahkamah Perusahaan mengeluarkan Award (membuat keputusan).

Walau bagaimanapun, ramai pekerja yang mungkin tidak tertarik atau teragak-agak untuk membuat tuntutan di Mahkamah Perusahaan kerana perlu bekerja semula(pemulihan kerja).

Sebenarnya, amat jarang sekali untuk Mahkamah Perusahaan memberikan perintah pemulihan kerja. Dalam 1,000 kes, mungkin beberapa sahaja (ini agak-agak saya sahaja ya, jangan “quote” saya pula).

Hal ini kerana Mahkamah Perusahaan melihat bahawa hubungan pekerja dan majikan telah pun musnah yang mana pekerja tersebut tidak sesuai lagi untuk dipulihkan semula kerjanya memandangkan hal tersebut boleh menggangu keharmonian antara pekerja dan majikan yang merupakan objektif utama penubuhan Mahkamah Perusahaan. 

Sebagai ganti kepada pemulihan kerja, Mahkamah Perusahaan akan memberikan perintah pampasan bagi menggantikan pemulihan kerja (compensation in lieu of reinstatement) yang bersamaan dengan satu (1) bulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.

Jadi, jika seseorang itu sudah bekerja selama 10 tahun, maka pekerja itu boleh mendapat pampasan maksimum daripada Mahkamah Perusahaan sebanyak 34 bulan (10 bulan gaji bagi pampasan menggantikan pemulihan kerja + 24 bulan gaji backwages)!

Kalau gajinya RM3,000.00, maka pekerja itu boleh mendapat pampasan maksimum daripada Mahkamah Perusahaan sebanyak RM102,000.00! Kerana itu saya katakan membuat tuntutan di Mahkamah Perusahaan adalah lebih berbaloi memandangkan JTK dan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberikan jumlah pampasan setinggi jumlah yang diberikan oleh Mahkamah Perusahaan tersebut.

Persoalannya, Bagaimanakah Cara Untuk Membuat Tuntutan Di Mahkamah Perusahaan?

Yang menariknya, pekerja tidak boleh membuat tuntutan di Mahkamah Perusahaan secara terus tidak seperti JTK dan Mahkamah Sivil.

Sebaliknya, pekerja perlu membuat aduan terlebih dahulu ke Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) untuk pemulihan kerja di bawah Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dalam masa 60 hari dari tarikh pembuangan kerja berkuatkuasa.

Setelah pekerja membuat aduan tersebut dengan mengisi borang yang telah disediakan di pejabat JPP Negeri tempat beliau bekerja, JPP akan mengatur temu janji untuk runding damai antara pekerja dan majikan. Dalam sesi runding damai tersebut, pegawai JPP akan berjumpa dengan pekerja dan majikan atau wakilnya untuk mencari penyelesaian yang bersifat menang-menang (win-win) antara kedua-dua pihak tanpa kehadiran peguam. Penyelesaian tersebut boleh dalam bentuk bekerja semula, pemberian pampasan dan sebagainya.

Ada pekerja yang pernah mengadu kepada saya bahawa pegawai JPP semasa runding damai langsung tidak membela beliau selaku pekerja! Sebenarnya pegawai JPP tidak ditugaskan untuk membela pekerja atau majikan dalam sesi runding damai tersebut. Tugas pegawai JPP hanya untuk memudah cara sesi runding damai antara majikan dan pekerja, bukannya untuk berpihak kepada salah satu.

Jika penyelesaian berjaya dicapai, satu Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani oleh pihak-pihak dan kes pun akan ditutup tanpa dibawa lebih lanjut ke Mahkamah Perusahaan.

Namun jika penyelesaian tidak berjaya dicapai, maka kes tersebut akan dibawa oleh JPP ke Menteri Sumber Manusia untuk membuat keputusan sama ada kes tersebut wajar dirujuk ke Mahkamah Perusahaan atau tidak.

Jika Menteri Sumber Manusia mendapati kes tersebut mempunyai asas, maka barulah Menteri Sumber Manusia akan merujukkan kes tersebut ke Mahkamah Perusahaan di bawah Seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Sebaik sahaja kes tersebut telah didaftarkan di Mahkamah Perusahaan, Mahkamah Perusahaan akan mengeluarkan Notis kepada pekerja dan majikan untuk hadir ke Mahkamah untuk mematuhi arahan-arahan selanjutnya daripada Mahkamah termasuklah pemfailan kertas kausa dan bicara sehinggalah Mahkamah membuat keputusan dengan menurunkan keputusan atau Award.

Di sinilah pekerja atau majikan boleh melantik peguam masingmasing untuk mewakili kes masing-masing.

Wajibkah Melantik Peguam Di Mahkamah Perusahaan?

Tak wajib. Saya sendiri pernah berlawan kes dengan pekerja dan majikan yang tidak diwakili oleh peguam. 

Namun, melihat kepada kerumitan prosedur undang-undang dan perkembangan undang-undang dari semasa ke semasa, maka saya menasihatkan bahawa eloklah melantik peguam sama ada anda adalah pekerja atau majikan.

Bagaimanakah Jika Menteri Sumber Manusia Tidak Merujukkan Kes Pekerja Ke Mahkamah Perusahaan?

Jika Menteri Sumber Manusia mendapati kes yang dimajukan oleh JPP kepadanya tidak mempunyai asas. Maka Menteri Sumber Manusia tidak akan merujukkan kes tersebut ke Mahkamah Perusahaan yang akan menyebabkan tuntutan pekerja tersebut pun terhenti begitu sahaja.

Namun, keputusan Menteri Sumber Manusia tersebut boleh dicabar oleh pekerja dengan membuat Permohonan Semakan Kehakiman (Judicial Review) di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan Menteri tersebut (Perintah Certiorari) dan mengarahkan Menteri tersebut untuk merujukkan juga kes tersebut di Mahkamah Perusahaan (Perintah Mandamus).

Penutup

Sebagai penutup, kehilangan pekerjaan adalah satu keadaan yang begitu merunsingkan setiap individu dan hak mempunyai pekerjaan adalah satu hak yang telah diberikan di bawah Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai “right to livelihood”.

Oleh hal yang demikian, undang-undang telah menyediakan jalan ataupun cara bagaimana pekerja mendapatkan haknya sekiranya beliau telah ditamatkan secara tidak munasabah dan tidak adil oleh majikan.

Hal tersebut juga untuk memastikan hak pekerja dan juga hak majikan terpelihara lantas membentuk sesuatu yang dinamakan “Industrial Harmony”.

Semoga bermanfaat.
Marwan bin Abdullah
Peguambela & Peguamcara
Tetuan Mu’az Aiman Halem Auzan & Associates